Sejarah Singkat BCCM BM

SEJARAH SINGKAT BCCM BM

Rev. Dr. Chen Lip Siong

 

Pada awal 1950an, BCCM telah terlibat secara langsung maupun tidak langsung dalam misi antara budaya oleh Basel Mission di antara orang Rungus di Kudat. BCCM telah turut sama berkongsi kesukacitaan dan pergumulan dalam proses perkembangan PCS sejak ditubuhkan 1951.

 

Pada 1967, BCCM telah mengambil alih pekerjaan misi di antara penduduk pribumi di sepanjang sungai Labuk di Murok, Sandakan. Pelayanan ini telah dimulai oleh seorang doktor perubatan, Dr. G. Christopher Willis. Dia terpaksa meninggalkan Sabah pada tahun itu. Gereja meneruskan pekerjaan Dr. Willis, mengembalakan jemaah yang ada dan memberikan perkhidmatan perubatan kepada penduduk kampung melalui kerjasama dengan empat sukarelawan doktor perubatan. Mereka ialah Dr. William Baird, Dr. Tan Jo Ling, Dr. Ng Ham Chung dan Dr. & Mrs. Ropper dan dibantu oleh beberapa jururawat dari Hospital Kent di Sandakan.[1]

 

1. Semangat Misi.

Penginjilan secara aktif di kalangan Bumiputra dimulai pada 1974, ketika dua orang jemaah Inanam yang bersemangat iaitu Chong Yun Leong dan Paul Chung telah melancarkan kempen “Memberitakan Injil kepada kaum bumiputra.” [2] Pada awalnya, pelayanan ini dibiayai oleh jemaah Inanam. Komiti kecil telah dibentuk untuk mengatur strategi dan mencari dana untuk misi. Pada Jun 1975, Gasin Guntidong, seorang pemuda Kadazandusun, telah diminta untuk membuat kaji selidik di kampung-kampung. Injil mulai diberitakan kepada orang-orang Kadazandusun yang tinggal di kawasan Inanam dan Menggatal.

 

Pada Julai 1975, Kebaktian Bahasa Malaysia yang pertama kali diadakan di gereja lama BCCM Inanam dengan kehadiran sekitar 16 orang.

 

Menyedari akan keperluan misi, ,maka pada 16 Oktober 1975 komiti misi peringkat paroki telah ditubuhkan yang mana dianggotai oleh Pusat, Majlis Paroki dan jemaat setempat di Kota Kinabalu, Inanam, Menggatal, Telipok, Tuaran dan Tamparuli. Tujuannya adalah untuk memantau pekerjaan misi di kalangan kaum Bumiputra di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran. Komiti ini dipengerusikan oleh Paul Chung. Komiti kecil BCCM Inanam telah diserap masuk ke dalam komiti baru ini. Komiti ini bertemu sebulan sekali untuk merancang, memantau dan mengevaluasi perkembangan pekerjaan misi.

 

 

 

Penginjilan digiatkan dan lebih banyak kampung seperti Kg. Kokol, Kg. Peniang, Kg. Binaung, Kg. Mensiang telah dicapai dengan injil. Pada tahun yang sama komiti misi telah mengambil alih jemaat Kadazandusun di Telipok yang telah dimulai oleh seorang anggota BCCM, saudara Tsen Ket Bing. Dia adalah seorang tukang gunting dan telah bekerja melakukan penginjilan sendirian kepada Kadazandusun lebih daripada 20 tahun. Dia telah bersara pada tahun 1975 disebabkan oleh usianya dan kesihatannya. Semangat penginjilan terus bersemarak dan BCCM dengan rasminya mengisytiharkan tahun 1978 sebagai Tahun Misi gereja.[3]

 

Pada Julai 1976, gereja bumiputra yang pertama didirikan di Kampung Peniang. Kebaktian pembaptisan Kadazandusun yang pertama diadakan pada Hari Kenaikan Tuhan Yesus pada 1976 dengan 76 orang telah dibaptis. Pada 1 Januari 1977, Daniel Taie dan Richard Angang, keduanya adalah pastor berbangsa Lundayeh dari Sipitang dan Joseph Daang, pemuda Kristian berbangsa Rungus dari Kudat telah ditugaskan untuk mengembalakan jemaat bumiputra yang semakin berkembang. Sebagai tambahan, terdapat 12 orang sukarelawan dari jemaat Cina juga yang terlibat bersama dengan jemaat-jemaat yang baru dibentuk tersebut.[4]

 

2. Perkembangan Misi.

 

Pekerjaan Misi di kalangan kaum bumiputra semakin berkembang dan meluas. Pekerjaan ini kemudian turut disertai oleh Paroki Kota Kinabalu dan Pusat. Penginjilan bukan hanya dilakukan di kalangan suku Kadazandusun di Pantai Barat tetapi juga kepada suku Murut di daerah Pensiangan pada tahun 1978. Daerah Pensiangan adalah daerah yang terpencil dan juga kawasan yang kurang dimajukan di Sabah. Disebabkan keterpencilan ini, maka kerajaan Sabah telah memindahkan pusat administrasi daerah pekan Pensiangan ke Nabawan pada tahun 1975. Skim pembangunan tanah diinisiatifkan untuk menempatkan orang Murut dari Pensiangan. Daerah ini kemudiannya dinamakan daerah Nabawan pada tahun 1980.[5]

 

Misi kepada orang Murut dimulakan oleh seorang saudara Kristian yang telah ditugaskan di Pensiangan pada tahun 1972. Dia melihat ribuan orang Murut yang hidup dan mati tanpa injil. Mereka menjadi mangsa kepada sistem sosial dan kebudayaan. Keperluan mereka akan Injil telah disuarakan kepada komiti misi pusat dan satu tim telah dihantar untuk mengkaji kemungkinan Injil dibawa ke daerah ini pada April 1978. Orang Murut mengatakan, “Kami telah lama menantikan Injil. Ramai penginjil telah datang pada waktu yang lalu tapi mereka tidak pernah menetap. Kami mahu lihat apakah kamu pun sama seperti mereka. Kami melihat gereja-gereja di Keningau dan Tenom. Kami fikir kekristenan hanyalah untuk orang-orang di bandar”. Pernyataan ini telah mencabar gereja untuk mencapai dengan Injil dan membuktikan bahawa BCCM akan menetap di sana.[6]

Pada tahun 1978, Richard Angang, pastor berbangsa separuh Murut, telah ditempatkan di Sapulut dengan keluarganya. Sebulan kemudian, seorang pemuda yang baru tamat dari sekolah Alkitab telah diutus menyertai dia. Tetapi kehidupan di Sapulut yang sunyi, susah dan asing baginya menyebabkan dia hanya bertahan selama satu bulan. Dalam masa sepuluh bulan, empat tempat ibadah telah dimulai dengan kehadiran 120 orang. Ramai yang telah dibebaskan dari belenggu Setan, berhala dan jimat telah dibuang dan dibakar. Sebidang tanah telah didermakan oleh Ketua Daerah di atas bukit untuk bangunan gereja. Gereja Bumiputra dan rumah pastor yang pertama telah dibangun di daerah ini pada tahun 1980. Sapulut menjadi Pusat Misi di daerah ini. Banyak kampung Murut – Balaron, Pagalungan, Sigatal, Silungai, Inakaak, Babalitan, Saliku dan Ulu Sapulut di daerah Nabawan dan Mailo dan Gumisi di daerah Tenom telah dicapai dengan Injil pada tahun berikutnya.[7]

 

Pada tahun 1993, terdapat 20 pastor muda bumiputra dan 11,000 anggota bumiputra beribadah di 80 buah gereja atau pertemuan ibadah sejak BCCM memulai pelayanan antara budaya pada tiga abad dahulu.[8]

 

3. Keperluan untuk Kepimpinan.

 

Apabila jemaat bumiputra meningkat dan tempat beribadah mula didirikan, BCCM merasakan perlunya tenaga dalam pelayanan dan kepimpinan untuk jemaat yang baru dibentuk ini. Komiti misi Pusat melihat sudah tiba masanya untuk mendirikan Pusat Latihan untuk melatih kaum awam dalam pendidikan Alkitab dan kepimpinan dalam Bahasa Malaysia.

 

Pada 1980, Pusat Latihan Alkitab BCCM di Kota Kinabalu atau PLAKK telah didirikan di tapak bangunan gereja lama Kota Kinabalu di Signall Hill. Dua bangunan lama dari Sekolah Menengah Lok Yuk telah diubah menjadi kelas belajar, asrama, ruang makan dan rumah guru. Pada awal pembinaannya, Pusat Latihan Alkitab itu hanya menyediakan latihan satu tahun dengan ruang murid pertama seramai 10 orang pelajar dan diselia oleh dua orang guru sepenuh masa iaitu Pendeta Thomas Tsen dan Pendeta Daniel Taie. Pada 1981, dua belas pelajar lagi telah mengikuti program ini.

 

Kelayakan untuk mengikuti program ini tidak menekankan pencapaian akademik – mereka yang lulus darjah enam juga diterima untuk dilatih. Mereka akan diminta untuk kembali ke kampung masing-masing untuk membantu pekerjaan misi dan pelayanan pengembalaan apabila mereka telah tamat. Pelajar juga bekerja separuh masa dihujung minggu untuk menampung keperluan hidup di pusat ini. Apabila keperluan untuk pekerjaan pengembalaan semakin meningkat dan terlihat adanya peningkatan oleh sebilangan pelajar, maka program latihan itu ditingkatkan kepada dua tahun latihan dalam tahun 1982.[9]

 

Apabila keperluan untuk memperoleh pelayan sepenuh masa yang terlatih di jemaah bumiputra semakin meningkat, maka gereja merasakan masanya sudah tiba untuk meningkatkan lagi Pusat Latihan Alkitab kepada Seminari  untuk memberikan program pendidikan teologi di peringkat Diploma dan Sarjana. Peningkatan Seminari Teologi Sabah telah diajukan dan diterima semasa synod BCCM dalam tahun 1985. Seminari Teologi Sabah telah menjadi seminari yang pertama di Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantaranya.

 

4. Cadangan untuk berdikari.

 

Apabila misi semakin meluas, banyak jemaat bumiputra dibentuk dan gereja-gereja didirikan. Semakin ramai pastor bumiputra yang bekerja sepenuh masa. Pada waktu yang sama perbelanjaan untuk pengangkutan dan keperluan lainnya meningkat. Beban kewangan semakin sulit bagi jemaat Cina.

 

Apa yang harus dilakukan oleh BCCM untuk membantu jemaat bumiputra meningkatkan persembahan mingguan dan sumber pendapatan lainnya supaya mereka boleh berdikari? Dalam seminar gabungan yang diadakan pada 15 Mac, 1994, cadangan-cadangan berikut telah diajukan dan dibincangkan.[10] Jemaat-jemaat bumiputra harus mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan bulanan mereka dan pada waktu yang sama mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

  1. Anggota gereja haruslah diajar penatalayanan Kristian dan perpuluhan. Pengajaran ini sangat penting terutama untuk anak-anak sekolah minggu dan para belia supaya mereka boleh mempraktikkan hal ini dari muda lagi.
  2. BCCM harus mengadakan lebih banyak seminar penatalayanan dan pengurusan kewangan di kalangan pemimpin gereja bumiputra.
  3. Pengurusan kewangan dan akaun kewangan jemaah haruslah bersifat ‘transparan’ atau jelas. Setiap jemaat harus menyumbang ke arah tabung berdikari.
  4. Jemaat boleh menganjurkan sempena perayaan gerejani untuk mengisi tabung tahunan.
  5. Gereja-gereja bumiputra dibandar perlu lebih banyak didirikan dan penginjilan perlu ditingkatkan kepada bumiputra yang bekerja di bandar dan di kawasan perindustrian. Apabila mereka menjadi Kristian dengan latarbelakang pendidikan mereka dapat menyumbang dalam keperluan kepimpinan di dalam gereja dan pendapatan yang tetap membolehkan mereka menyumbang dalam hal kewangan.
  6. Kaum bumiputra digalakkan untuk menggunakan hak mereka dan keistimewaan mereka untuk meningkatkan status ekonomi mereka. Melalui penubuhan koperasi, pelaburan bumiputra dan peluang-peluang untuk membeli saham melalui skim kerajaan adalah digalakkan.
  7. Bumiputra haruslah meningkatkan penghasilan dari tanah mereka ataupun berniaga. Bagian Cina rela membantu mereka untuk memberikan pengetahuan dan kesempatan yang diperlukan.

 

5. Rombakan struktur organisasi.

Misi antara budaya telah memberikan perubahan dan pembaharuan dalam BCCM. BCCM bukan lagi hanya untuk orang Hakka. Bumiputra sekarang telah menjadi bagian dari BCCM yang tidak dapat dipisahkan. Pentadbiran gereja yang ada pada sekarang perlu dirombak.

Cadangan pertama untuk rombakan struktur organisasi ini telah disampaikan dalam bentuk kertas kerja oleh Pdt. Thu En Yu sewaktu Mesyuarat Agung BCCM yang ke 20 pada tahun 1981. Sasaran dan tarikh untuk pembentukan di tiap peringkat majlis telah dibentangkan.[11]

Struktur Organisasi Tarikh

Peringkat awal : Pembentukan Majlis-Majlis Gereja                                   1982

Peringkat Pertengahan : Pembentukan Majlis Majlis Paroki                      Fleksibel

Peringkat Akhir : Pembentukan Majlis Pusat                                                1992

Peringkat Terakhir : Pembentukan konferensi tahunan                              Fleksibel

 

Sasaran – sasaran dan tarikh-tarikh telah dirivisi kembali sewaktu Mesyuarat Agung BCCM ke 25th pada tahun 1992 sebagai yang berikut:[12]

Struktur Organisasi Tarikh

Peringkat awal : Pembentukan Majlis-Majlis Gereja Misi                           1982

Peringkat pertengahan : Pembentukan Majlis Misi Paroki                         Fleksibel

Peringkat akhir : Pembentukan Majlis Pusat Misi                                         1998

Peringkat terakhir : Pembentukan Konferensi Tahunan Misi                     2000

 

Konferensi Misi sementara telah dibentuk bila waktunya tiba untuk mengumpulkan jemaat-jemaat di satu kawasan atau menurut kelompok bahasa dengan keperluan yang kuat untuk mempunyai pentadbiran mereka yang tersendiri, walaupun tanpa tenaga manusia dan sumber kewangan yang cukup pada waktu itu. Pada August 20, 1997, jam 7.30 petang, Majlis Pusat Misi BCCM BM dengan rasminya telah dibentuk di BCCM Menggatal, di mana Pdt. Daniel Taie sebagai Ketua MPM yang pertama. Ketua MPM pada masa ini ialah Pdt William Lo (2002 – 2003). MPM adalah di bawah pengawasan Majlis Pusat BCCM, tapi boleh mempunyai pentadbiran sendiri dengan beberapa syarat:[13]

  1. Perlu mendapatkan bantuan secara langsung dari synodnya dalam pemilihan Pengerusi dan pemegang jawatan dalam paroki.
  2. Majlis Pusat akan menyelia secara langsung dan membantu dalam administrasi dan kewangan.
  3. Tiada perwakilan dalam synod.

Komiti konsultasi telah dibentuk sewaktu mesyuarat Pusat BCCM pada January 8, 1994 di Wisma BCCM. Mereka yang berikut mewakili pusat, Pusat BC dan BCCM BM: Bishop Thu En Yu, Pdt. Lee Tak Vui, Pdt. Voo Thien Fui, Pdt. Chen Lip Siong, Pdt. Thomas Tsen, En. Peter Lee, En. Lim Chin Teck, Pdt. Daniel Taie, Pdt. Gasin Guntidong, Pdt. Lukas Amat, Pdt. William Lo, Pastor Wong Foh Tin dan Pastor Jonius Bagu. Perhatian utama dalam konsultasi ini adalah rombakan polisi BCCM. Struktur administrasi masa depan BCCM  dicadangkan sewaktu mesyuarat pada August 17, 1994 dengan jemaat Bahasa English dipisahkan dari BCCM BC dan membentuk synod mereka yang tersendiri.

 

Dalam Mesyuarat Agung BCCM ke 30, satu komiti telah dibentuk terdiri dari Pdt. Voo Thien Fui (Bishop), Dr. Chen Lip Siong (Timbalan Bishop dan Pengarah Misi), En. Lim Chin Teck (Presiden), En. Moo Fah Lin (Timbalan Presiden) Dr. Thu En Yu (Pengetua, Seminari Theologi Sabah), Pdt. William Lo (Ketua MPM), En. Hector Hunt (Timbalan Ketua MPM), Pdt. Lee Tak Vui (English), En. Fung Yin Khun (English) dan En Yap Pak Vui (Penasihat Undang-Undang Majlis Pusat). Komiti ini sekali lagi bertemu pada January 11, 2002 dan telah diputuskan komiti tersebut dinamakan “Komiti Pekembangan Jemaah BC, BM dan BE”. Berikut adalah sasaran-sasaran telah ditetapkan:

(1)     Mengkaji perkembangan masa depan struktur gereja

(2)     Mengkaji perlembagaan dan peraturan gereja sebagai hasil dari perubahan dalam struktur.

(3)     Membincangkan perkara yang berkaitan dengan proses pembentukan synod ketiga bahasa pada akhir tahun 2003.

 

Pada 2002, BCCM BM mempunyai sekitar 18,000 anggota di enam paroki, Paroki Tuaran (15 jemaat), Paroki Kota Kinabalu (10 jemaat), Paroki Sandakan (12 jemaat), Paroki Tawau (3 Jemaat), Paroki Pedalaman 1 (13 Jemaat) dan Paroki Pedalaman II (7 jemaat). Sunway Kuala Lumpur dan Kudat adalah jemaat yang baru dibentuk dalam tahun 2000 dan 2001 untuk memenuhi keperluan anggota jemaat BCCM BM yang berhijrah dan bekerja di sana. Terdapat 46 pastor  sepenuh masa melayani di BCCM BM dalam tahun 20002. Di samping itu, ada juga 4 orang pastor separuh masa dan 8 pelajar teologi yang sedang belajar di Seminari Teologi.

 

Yesus berkata, “Kamu adalah terang dunia. Kota yang terletak di atas gunung tidak mungkin tersembunyi. Lagi pula orang tidak menyalalan pelita lalu meletakkannya di bawah gantang, melainkan di atas kaki dian sehingga menerangi semua orang di dalam rumah itu. Demikianlah hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapamu yang di sorga.” (Matius 5: 14 – 16). Doa kami adalah supaya BCCM BM bukan hanya boleh berdikari pada akhir tahun 2003, tapi juga akan menjadi terang di kalangan kaum bumiputra di Sabah!

 


[1] Moo, Fah Lin, “Sandakan  Murok Mission Report” dalam BCCM Centenary Magazine (1882 – 1982), (Kota Kinabalu: BCCM, 1983), 125 – 126.

[2] Chee, “A Brief History of BCCM,” 8.

[3] Chong, Tet Loi, “Cross-cultural Mission of the Sabahan Chinese Christian Community in Biblical and Theological Perspectives,” an unpublished B.D. Thesis, (Singapore: Trinity Theological College, 1980),37

[4] Ho, Mui King, “Kota Kinabalu Mission Report” dalam BCCM Centenary Magazine (1882 – 1982), (Kota Kinabalu: BCCM, 1983), 131.

[5] Chung, Fui Chung, Mission to the Muruts of Pensiangan, (Kota Kinabalu: BCCM Central Mission Committee, 1979), 2 – 3.

[6] Ibid., 2.

 

 

[7] Chen, Lip Siong, “Interior Residency Mission Report” in BCCM Centernary Magazine (1882 – 1982), (Kota Kinabalu: BCCM, 1983), 135.

[8] Thu, En Yu “Bishop’s Report to the 26th BCCM General Assembly,” (Kundasang: BCCM Camp, November 25 – 27, 1993),2.

[9] “Maklumat umum,” Katalog Seminari Teologi Sabah (1992 – 1994), (Kota Kinabalu: Sabah Theological Seminary, 1992), 11 -12.

[10] “Laporan perbincangan kelompok”, Seminar ke arah berdikari BCCM BM (Kota Kinabalu: BCCM Kota Kinabalu, March 15, 1994)

[11]“A proposal for structure and Financial Self-supporting of Bahasa Malaysia congregations,” (Sandakan:22nd BCCM General Assembly, November 11 – 15, 1985), 98.

[12] Proposal For BCCM BM’s structure, Salary Scheme and Retirement System,” (Kundasang: BCCM Camp, 25th BCCM General Assembly, November 27 – 30, 1991), 71

[13] Thu, “A paper on the Organisational Structure of The Non-Chinese Members in BCCM,” 3.

Additional information